Selasa, 29 Mei 2012

Tanah Oh Tanah siri 2

Penulis En Suhaimi bin Mamat

Setiausaha

Bahagian Tanah, Ukur dan Pemetaan
Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar

TANAH OH TANAH

Pada tahun 2002, dua orang pensyarah dari sebuah IPTA yang tinggal berjiran perselisihan faham mengenai sempadan tanah. Salah seorang daripada mereka mendakwa jirannya menceroboh lot tanah hak milik beliau. Jirannya dikatakan telah merosakkan rumput yang ditanam dan menuntut ganti rugi am termasuk ganti rugi kerosakan rumput mutiara yang dianggarkan RM5,000, bayaran balik wang RM10,000 atas perbelanjaan membaiki tembok pagar dan membaik pulih tanah yang didakwa diceroboh.

Walau bagaimana pun jirannya mendakwa bahawa beliau tiada bukti bahawa sempadan kecil berkeluasan 3 kaki x 125 (tanah yang didakwa diceroboh) adalah miliknya kerana ukuran halus dan terperinci seperti mana bawah Seksyen 396 Kanun Tanah Negara 1965 belum dilakukan. Jirannya mendakwa lot tanah tersebut juga masih di bawah hak milik sementara dan selagi tiada pengukuran halus dibuat, beliau tidak akan melepaskan hak ke atas lot tanah yang dipertikaikan itu. Pertikaian ini berterusan dari Mahkamah Sesyen ke Mahkamah Tinggi.

Dalam kes yang lain, Datuk Sidek Awang yang mewakili tujuh pemilik tanah dan rumah kedai terkilan dengan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Negeri Kelantan yang menceroboh tanah mereka dengan membina kompleks bangunan kastam di kawasan Zon Bebas Cukai Rantau Panjang pada pertengahan tahun 1992. “Kami langsung tak tahu hampir 19 tahun tanah kami diceroboh tanpa pengetahuan. Selama ini, kami tak sedar rupanya perbuatan pihak terbabit melampaui sempadan tanah kami,” katanya. “Kami tidak mahu masalah ini berlarutan memandangkan ia adalah harta yang mesti dijaga oleh semua adik-beradik. Isu pertindihan tanah sempadan ini perlu diselesaikan segera.”

Dilaporkan juga, sekitar bulan Jun 2008, Fortune Strike Sdn Bhd pemilik tanah lot 338 Seksyen 96A Bandar Kuala Lumpur Daerah Kuala Lumpur berselisih faham dengan pemilik tanah lot 337 (tanah bersebelahan) iaitu Pauline Lee Bee Lian kerana mendakwa beliau telah menceroboh tanahnya seluas sejumlah 1,275 kaki persegi dan mengarahkan Pauline Lee Bee Lian merobohkan retaining walls dan sebahagian rumah banglo yang termasuk dalam kawasan tersebut. Beliau terkejut dan menjadi marah kerana selama 16 tahun yang lepas, beliau tidak menerima apa-apa aduan akan pencerobohan dan perlanggaran daripada pemilik tanah bersebelahan.
Sebagai pemilik tanah, Pauline Lee Bee Lian juga terkilan dengan Pengarah Ukur dan Pemetaan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Pengarah Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur kerana mengeluarkan Hakmilik Tetap lebih kecil berbanding dengan keluasan dalam Hakmilik Sementara. Keluasan dalam Hakmilik Sementara ialah 10,683 kaki persegi tetapi keluasan dalam Hakmilik Tetap ialah 9,407 kaki persegi. Beliau telah dilucutkan kawasan tanah melebihi 10% yang telah diberimilik di bawah Hakmilik Sementara. Perbezaan besar ini adalah melampaui tahap ‘de minimis rule’.
Beliau menghujahkan JUPEM KL dan PTG KL gagal untuk mengambilkira pertimbangan yang relevan peruntukan-peruntukan di dalam KTN sebelum mengeluarkan dan mendaftarkan Hakmilik Tetap. Beliau bukan sahaja dinafikan suatu hak kepada harta tersebut tetapi juga mengalami kerugian yang besar untuk merobohkan retaining wall dan sebahagian rumah banglonya.
Pada tahun 2009, beliau telah membuat permohonan kepada Mahkamah Tinggi supaya Hakmilik Kekal tersebut diketepikan dan suatu perintah dikeluarkan mengarahkan JUPEM KL dan dan PTG KL membuat satu pengukuran semula berdasarkan peruntukan Kanun Tanah Negara bagi menentukan sempadan-sempadan tanah tersebut untuk pengeluaran hakmilik kekal.

Manakala di Negeri Sarawak pula, pada tahun 2011, akhbar tempatan Sarawak melaporkan ramai Rakyat Negeri Sarawak yang masih tidak mengetahui dengan jelas mengenai sempadan tanah Hak Adat Bumiputera (NCR). Penduduk sering bergaduh sesama sendiri kerana tanah yang diwariskan oleh nenek moyang dahulu tidak bersempadan. Kalau ada pun mereka menggunakan anak sungai dan sungai sebagai sempadan yang sering berubah. Oleh itu berlaku pertelingkahan dan pertikaian mengenai tanah NCR.

Semua insiden di atas adalah berpunca tanda sempadan tanah yang tidak jelas atau belum muktamad. Tuan tanah bersebelahan tidak tahu had dan batas tanahnya yang boleh membawa kepada pencerobohan atau termasuk dalam kawasan tanah orang. Dari perspektif Islam, menceroboh tanah orang adalah satu kezaliman dan ditegah. Sa'id bin Zaid r.a, pernah berkata, "Aku mendengar Rasulullah saw, bersabda, 'Barangsiapa mengambil tanah milik orang lain secara zhalim, maka akan dikalungkan padanya tujuh lapis bumi'," (HR Bukhari [2452] dan Muslim [1610]).

Dari Abu Salamah, bahawa ia terlibat pertengkaran dengan beberapa orang. Lalu ia mengadukannya kepada 'Aisyah r.a, ia berkata, "Hai Abu Salamah, jauhilah persengketaan masalah tanah! Kerana Nabi saw. bersabda, 'Barangsiapa mengambil tanah milik orang lain walaupun sejengkal niscaya akan dikalungkan padanya tujuh lapis bumi'," (HR Bukhari [2453] dan Musim [1612]).

Dari 'Abdullah bin 'Umar r.a, ia berkata, "Rasulullah saw. bersabda, 'Barangsiapa merampas tanah milik orang lain tanpa hak niscaya pada hari Kiamat ia akan ditenggelamkan ke dasar bumi yang tujuh'," (HR Bukhari [2454]).

Dari Abu Hurairah, ia berkata, "Rasulullah saw. bersabda, "Tidaklah seorang mengambil tanah orang lain tanpa hak melainkan Allah akan mengalunginya hingga tujuh lapis bumi pada hari Kiamat'," (HR Muslim [1611]).

Dari Wa-il bin Hujr r.a, ia berkata, "Ketika aku berada di dekat Rasulullah saw. datanglah kepada beliau dua orang laki-laki yang sedang bertengkar tentang masalah tanah. Salah seorang berkata, 'Ia telah merampas tanah milikku sejak masa Jahiliyyah dulu, wahai Rasulullah!' Rasulullah saw. bertanya kepadanya, 'Mana buktinya?' Laki-laki itu menjawab, 'Aku tidak punya bukti.' Kemudian Rasulullah berkata, 'Kalau begitu ia akan mengambilnya dengan sumpah tersebut!?' Rasulullah saw. berkata kepadanya, 'Tidak ada hakmu selain itu?' Ketika orang itu hendak bersumpah Rasulullah saw. berkata, 'Barangsiapa mengambil tanah milik orang lain secara zhalim, maka ia bertemu Allah sedang Allah marah kepadanya'," (HR Muslim [139]).

Dari Ya'la bin Murrah r.a, ia berkata, "Aku mendengar Rasulullah saw. bersabda, "Siapa saja yang mengambil tanah orang lain secara zhalim walaupun cuma sejengkal, maka pada hari kiamat nanti Allah 'azza wajalla akan menyuruhnya menggali tanah itu sampai tujuh lapis bumi kemudian mengalungkannya padanya hingga diputuskan seluruh perkara manusia," (Shahih, HR Ahmad [IV/173], Ibnu Hibban [5164] dan ath-Thabrani dalam al-Kabiir [XXII/322/692]).

Dalam riwayat lain disebutkan, 'Barangsiapa mengambil tanah orang lain tanpa hak, maka akan dipikulkan tanah itu kepadanya sampai ke padang Mahsyar," (Shahih, HR Ibnu Abi Syaibah [VI/565], Ibnu Hibban dalam ats-Tsiqaat [IV/48] dan ath-Thabrani dalam al-Kabiir [XXII/322/691]).

Dalam riwayat lain disebutkan, "Barangsiapa merampas tanah atau sawah walaupun sejengkal, maka ia akan datang pada hari kiamat dengan memikul tanah itu sampai lapisan bumi yang paling bawah," (Shahih, HR ath-Thabrani dalam al-kabiir [XXII/322/693] dan dalam ash-Shaghiir [II/103] dan al-Ausath [2098]).

Dari 'Amir bin Watsilah, ia berkata, "Ketika aku bersama 'Ali bin Abi Thalib r.a. tiba-tiba datanglah seorang laki-laki dan berkata, 'Apakah yang Rasulullah saw. rahsiakan kepadamu?' Mendengar perkataannya itu 'Ali marah dan berkata, 'Rasulullah saw. tidak pernah merahsiakan sesuatu kepadaku yang beliau sembunyikan terhadap orang lain hanya saja beliau telah menyampaikan kepadaku empat kalimat.' 'Apa itu wahai Amirul Mukminin?', tanyanya. 'Ali menjawab, 'Rasulullah saw. bersabda, 'Allah melaknat orang yang melaknat orang tuanya, Allah melaknat orang yang menyembelih untuk selain Allah, Allah melaknat orang yang melindungi pelaku kejahatan, dan Allah melaknat orang yang merubah-rubah batas tanah," (HR Muslim [1978]).

Dalam riwayat lain disebutkan, "Allah melaknat orang yang mencuri-curi (merubah-rubah) batas tanah," (HR Muslim [1978]).

Pertikaian mengenai tanda sempadan tanah hanya dapat di selesaikan dengan cara membuat ukur halus. Setelah ukur halus dijalankan, penentuan kedudukan tanda sempadan, arah (bearing) lot dan keluasan, maklumat jarak antara tanda sempadan, arah putaran dan keluasan lot tanah dimuktamadkan. Justeru, masalah pencerobohan dapat dielakkan kerana ia telah menerangkan dengan jelas saiz kawasan dan sempadan yang muktamad. Tidak ada lagi pertikaian mengenai sempadan tanah.

Di Malaysia hanya Jabatan Ukur dan Pemetaan (JUPEM) adalah agensi yang bertanggungjawab dalam menjalankan pengukuran halus, penandaan sempadan ke atas lot-lot tanah dan penyediaan bagi tujuan pengeluaran Hakmilik Kekal. Pentadbir Tanah Daerah akan mengeluarkan Dokumen Hakmilik Kekal (Final Title) setelah Pelan Hakmilik Kekal B1Tiff yang disediakan oleh JUPEM berdasarkan Pelan Akui yang disahkan. Dilaporkan proses pengukuran dipadang dan penyediaan pelan hakmilik tanah memakan masa selama dua (2) tahun kerana banyak kerja yang perlu dilakukan seperti proses mencari, mengenal pasti, mengukur, menilai, menganalisis serta melaporkan lokasi garis sempadan tanah.
Mesyuarat Jawatankuasa Panel Memajukan Pentadbiran Awam MAMPU memperakukan tempoh bagi pengukuran tanah sehingga pelan hakmilik tetap boleh dicapai dalam tempoh 10 bulan. Namun demikian JUPEM melalui Sistem e-Kadaster telah berjaya memendekkan proses pengukuran dan penyediaan pelan hakmilik tanah daripada dua tahun kepada dua bulan atau kurang. Pada tahun 2011, JUPEM telah berjaya menyiapkan ukuran untuk penyediaan dokumen bagi tujuan penyediaan hak milik sebanyak 54,703 lot di mana 16,419 lot dapat disiapkan dalam tempoh dua bulan.

Tanda Sempadan Tanah adalah satu isu sensitif dan seringkali menimbulkan kontrovesi. Dalam Hakmilik Semenrata (QT) terdapat unsur kesamaran dan ketidakpastian yang boleh mencetuskan salah faham dan pertikaian. Oleh itu ukur halus yang dijalankan oleh JUPEM dapat menjauhkan semua hal yang menyebabkan timbulnya salah faham dan konflik di kalangan tuan-tuan. Inilah tugas dan tanggugjawab tersirat JUPEM dalam menyelesaikan masalah rakyat yang menghadapi pertikaian dan pertengkaran mengenai sempadan lot tanah. Peranan JUPEM ini dapat menjaga keharmonian hidup semasa manusia.

Atas doktrin fiqh atau maxim of fiqh, peranan ini disebut sebagai maslahah ammah. Maslahah ammah yang al-dharurat khususnya maslahah al-muhafazah ‘ala al-mal (kepentingan menjaga/memelihara keselamatan harta) adalah wajib. Mengikut prinsip dalam ilmu usul fiqh, menjaga maslahah dan menolak mafsadah adalah wajib واجب ا العام لضرر دفح (Menolak kemudaratan umum itu wajib dilakukan (Al-Husayni : 1350H).

Isu sempadan tanah boleh mengundang dosa atau memberi ganjaran pahala. Menyelesaikan isu sempadan tanah adalah tuntutan agama dan satu kefarduan. Oleh itu ia perlu diuruskan dengan baik, segera dan bijaksana.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Komen la sikit!!