Isnin, 21 Mei 2012

TANAH DIUSAHAKAN TETAPI HAK MILIK DIBERIKAN KEPADA ORANG LAIN

Petikan dari SUHAIMI BIN MAMAT

Setiausaha
Bahagian Tanah, Ukur dan Pemetaan
Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar.


TANAH DIUSAHAKAN TETAPI HAK MILIK DIBERIKAN KEPADA ORANG LAIN
Tentunya kita pernah mendengar ungkapan yang berbunyi “tanah diusahakan tetapi hak milik diberikan kepada orang lain”. Orang lain yang bersusah payah mengusaha dan membangunkan tanah dengan menebas, menebang, membuat kebun sehingga mengeluarkan hasil tetapi hak milik diberikan kepada individu lain yang tidak ada kena mengena. Orang lain yang membanting tulang, orang lain pula yang meraih hasil.

TVSelangor.com bertarikh 4 Januari 2012 melaporkan bahawa tanah seluas 157 ekar berhampiran Batu Tujuh, Jalan Kebun, Klang yang diusahakan oleh 63 orang penduduk Kampung Jalan Kebun sejak tahun 1984 telah diberikan hak milik kepada individu-individu yang tidak kenali pada tahun 2002. -Sinar Harian -


Usaha gigih sekumpulan penduduk kampung tidak ke mana apabila tanah yang mereka teroka dan bercucuk tanam selama 20 tahun akhirnya telah diberikan kepada individu yang bukan penduduk kampung malahan bukan orang yang mengusahakan tanah itu.

Salah seorang dari peneroka tanah itu, Haripin Tauhid, 49, menceritakan latarbelakang kawasan tersebut. "Tanah ini dulu hutan terbakar dan belukar. Kita pun tidak ada akitiviti dan kawasan ini tak maju, jalan ini pun jalan mati. Sambil mengisi masa lapang, kita bercucuk tanam dan kalau boleh, masa itu kita nak mohon supaya tanah ini diberikan hak milik pada kita," ceritanya. "Asal usul tanah ini memang hutan terbakar jadi ramai-ramai penduduk mengerjakannya. Seorang satu ekar. Tetapi akhirnya musnah, tak apa benda yang kita dapat".

SuaraPakatanDaily bertarikh 7 Oktober 2011 pula melaporkan seramai 32 orang peneroka di Bulu Akar, Mukim Setapak Daerah Gombak telah mengusahakan satu kawasan tanah seluas 35 hektar untuk pertanian moden semenjak 1980. Pada tahun 2010, tanah tersebut telah di beri kepada Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) Bahagian Negeri Selangor dengan pajakan 99 tahun. Peneroka mempertikaikan mengapa tanah tersebut diluluskan dan diberikan kepada PERKIM sedangkan yang mengusahakan tanah tersebut adalah semua pengusaha dusun di sini.


Seorang peneroka mendakwa “Kami benar-benar rasa terkejut dan terkilan, tanah yang dahulu merupakan kawasan hutan tebal dan berbukit-bukau yang telah diusahakan secara bergotong-royong dengan tujuan menyahut seruan kerajaan negeri menggalakkan Bumi Hijau ketika itu dengan mengusahakan tanah yang terbiar telah diberi kepada PERKIM tanpa perbincangan kepada Ahli Jawatankuasa Penduduk disini”, katanya. Baru-baru ini, PERKIM telah mengeluarkan notis kepada kepada penduduk agar semua pengusaha keluar daripada tanah ini dan mendakwa semua pengusaha dusun telah menceroboh kawasan tersebut.

Banyak lagi kisah duka seperti ini jika kita rajin layari internet. Lantaran itu pentadbiran tanah dikecam hebat, ada yang menganggap kerajaan zalim, tidak telus dan tidak adil.
Persoalannya kenapa berlaku sedemikian. Dari segi logik atau hukum akal, hak milik patut diberikan kepada orang yang mengusahakannya. Ia berbaloi dengan susah payah, pahit getir dan titik peluh mereka. Jika dilihat dari undang-undang tanah Islam, penerokaan dan pengusahaan tanah mawat oleh orang Islam yang melayakkannya mendapat hak milik terhadap tanah tersebut. Ia dikenali dengan konsep ihya al-mawat. Apa yang berlaku kadang-kadang sebaliknya, tanah yang diusahakan tetapi hak milik diberikan kepada orang lain. KENAPA JADI BEGITU?



PENGUSAHA ATAU PENEROKA TANAH TIDAK SEMESTINYA MENDAPAT HAK MILIK TANAH
Sebenarnya tanah diusahakan tetapi hak milik diberikan kepada lain telah lama berlaku dalam sejarah pentadbiran tanah di Malaysia. Ia telah berlaku sejak pelaksanaan undang-undang common law Inggeris dan ekuiti bermula tahun 1826 yang kemudian diikuti dengan pelaksanaan Land Code 1926 dan digantikan dengan Sistem Torren melalui penguatkuasaan Kanun Tanah Negara 1965 (KTN). Pelaksanaan undang-undang common law Inggeris ini telah menyebabkan undang-undang tanah adat dan undang-undang tanah Islam dimansuhkan.


KTN memberi kuasa penuh kepada Pihak Berkuasa Negeri (PBN) sebagai pemilik tunggal yang mutlak bagi semua tanah dalam negeri yang belum dilupuskan. PBN mempunyai kuasa yang amat luas. PBN boleh melupuskan tanah kepada sesiapa yang difikirkan layak. Penerimanya mungkin pengusaha atau peneroka tanah tersebut atau individu lain. Ini adalah budi bicara mutlak PBN. Biasanya dalam menimbang pelupusan tanah, PBN melihat kepada kepentingan awam atau maslahah al ammah berbanding dengan lain-lain kepentingan.
Orang yang mengusaha tanah atau peneroka termasuk Pemegang Lesen Menduduki Sementara (Temporary Occupation Licence - TOL), apatah lagi peneroka haram, tidak boleh menjadikan alasan kependudukan mereka atas tanah berkenaan sebagai jaminan untuk mendapat hak milik. Walau selama mana sekalipun seorang itu telah menikmati TOLnya, tidak ada jaminan tanah itu akan menjadi miliknya pada satu hari nanti. Tanah TOL tetap tanah kerajaan.
Dalam kes Teh Bee lwn. K. Maruthamuthu [1977] 2 MLJ 7, plaintif telah menikmati TOLnya selama 21 tahun apabila Pihak Berkuasa Negeri (Negeri Sembilan) berkenaan melupuskannya menerusi pemberianmilik kepada defendan. Teh Bee, sebagai TOl selama 21 tahun tidak boleh membuat ekspektasi atau meletakkan harapan yang munasabah bahawa tanah itu akan akhirnya menjadi miliknya yang sah.
Dalam kes Bohari Taib & Ors lwn. PTG Selangor [1991] 1 MLJ 343, pemegang TOL dijanjikan oleh wakil kerajaan negeri berkenaan bahawa andainya mereka berjaya mengusahakan tanah TOL itu selama 5 tahun dan masih kekal di situ di akhir tempoh itu, TOL mereka akan digantikan dengan hakmilik tanah bertempoh tidak melebihi 99 tahun. Walaupun syarat-syarat berkenaan telah dipatuhi mereka, di hujung tempoh TOL itu kerajaan negeri tidak menepati janjinya (disebabkan ada perubahan struktur politik di seluruh negara). Di bawah KTN, apabila TOL sudah luput (tidak dilanjutkan tempohnya) pemegangnya menjadi penceroboh. Penceroboh boleh diusir keluar pada bila-bila masa.
Dalam kes Chong Wooi Leong & 29 Ors. Lebby Sdn Bhd [1998] 3 AMR 2053, sebuah kawasan paya dan tempat pelupusan sampah diduduki sekumpulan rakyat pelbagai bangsa untuk satu tempoh yang panjang. Dari tanah yang tiada siapa mahu, ia menjadi satu kawasan kampung yang serba serbi lengkap, siap dengan jalan, kemudahan letrik, air, surau dan kemudahan sosial yang lain. Pelbagai janji diberi oleh pelbagai pihak, termasuk ahli politik, pemimpin masyarakat dan ketua jabatan kerajaan. Pada satu masa, ada kebakaran berlaku. Penduduk kampung dimaklumkan bahawa mereka boleh membina semula rumah mereka yang musnah. Mereka juga dinasihati supaya membuat permohonan kepada PBN, dan dijanjikan permohonan mereka itu akan diproses segera dan beri layanan sewajarnya. Permohonan dibuat tetapi tidak berhasil. Akhirnya, kawasan kampung itu diberimilik kepada sebuah syarikat pemaju dan penduduk asal diusir keluar.
Dalam kes Sentul Murni Sdn Bhd lwn. Ahmad Amirudin & 3 Ors [2001] 4 AMR 4092 CA, cerita yang lebih kurang sama berlaku kepada penduduk Kampung Chubadak, yang telah diduduki sejak awal tahun 60an. Ikrar dan janji telah diberi oleh kerajaan negeri (menerusi Menteri Besarnya, selaras dengan keputusan Exco Negeri yang dibuat pada Ogos 1962) bahawa penduduk kampung itu akan diberi hakmilik tanah. Kawasan ini kemudian menjadi sebahagian dari Wilayah Persekutuan. Akhirnya, kawasan kampung ini diberimilik kepada syarikat pemaju.

Dari sudut undang-undang setakat yang terzahir dalam KTN, dalam kesemua 4 kes di atas tadi, tindakan PBN berkenaan melupuskan tanah kerajaan menerusi pemberianmilik kepada pihak-pihak berkenaan memang tidak salah dan sah, kerana ia mematuhi kehendak undang-undang. Tetapi bila kita lihat fakta kes ini dari sudut yang lain, soalnya –
(a) dalam kes Teh Bee, tidakkah tempoh 21 tahun sebagai pemegang TOL menimbulkan satu ekspektasi atau harapan yang munasabah bahawa tanah itu akan akhirnya menjadi miliknya yang sah?

(b) dalam kes Bohari, disebabkan penduduk kampung telah patuh kepada syarat-syarat yang dikenakan kepada mereka, tidakkah mereka secara moralnya berhak mendapatkan hakmilik tanah ?

(c) dalam kes Chong, apakah nilai janji yang diberi oleh pemimpin masyarakat dan ketua jabatan berkenaan (dan dalam kes Sentul Murni, janji diberi oleh Menteri Besar sendiri) jika akhirnya janji-janji itu tidak ditepati ?
Kecuali Pentadbir Tanah yang telah lama berkhidmat, ahli profesyen guaman yang membuat pengkhususan dalam bidang ini serta tenaga pengajar di pusat pengajian tinggi yang telah membuat kaji selidik dalam undang-undang tanah, pada amnya orang awam mendapati Teh Bee, Bohari dan Chong berhak ke atas tanah berkenaan dan hak milik perlu diberikan kepada mereka. Jika berlaku sebaliknya, maka kedengaranlah atau kata-kata tanah diusahakan tetapi hak milik diberikan kepada orang lain. Lantas kerajaan dan anggota pentadbiran tanah di kecam, dikatakan berlaku penyelewengan dan pengusaha atau peneroka membuat bantahan dan demonstrasi.
Dari segi undang-undang tanah, apakah hak mereka untuk berbuat demikian. Undang-undang adat dalam pemilikan tanah telah dimansuhkan. Prinsip Ihya' al-Mawat tidak lagi diiktiraf. Dalam kes Sidek bin Haji Muhamad & 461 Ors. v. The Government Of The State Of Perak & Ors. (1982) 1 MLJ 313, Mahkamah Persekutuan memutuskan bahawa peneroka yang membuka dan menduduki tanah Kerajaan di kawasan Kampung Gajah, Daerah Perak Tengah, Teluk Intan, Perak adalah setinggan dan tidak mempunyai hak di sisi undang-undang atau ekuiti. Rayuan peneroka-peneroka yang terlibat untuk diberi hak sebagai pemilik tanah berkenaan telah ditolak oleh Mahkamah Persekutuan.


Begitu juga dengan kes Haji Abdul Rahman Limbong yang mengetuai kira-kira 300 orang penduduk kampung membersihkan satu kawasan tanah dari Lubuk Batu hingga Kampung Pelam di Kuala Telemong pada Mei 1925. British menghalang penerokaan oleh Haji Abdul Rahman Limbong. Beliau ditahan dan dibuang negeri ke Makkah.





Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-82 yang bersidang pada 5 - 7 Mei 2008 telah membincangkan mengenai Hukum Penerokaan Tanah Secara Tidak Sah dan muzakarah telah memutuskan bahawa menduduki tanah kerajaan tanpa kebenaran adalah satu kesalahan dan jika disabitkan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM10,000.00 atau penjara untuk tempoh tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya sekali.

Ahli  Muzakarah Jawatankuasa Kebangsaan


Dapat dirumuskan bahawa tanah diusahakan tetapi hak milik diberikan kepada orang lain tidak perlu disensasikan kerana tidak ada asas dari undang-undang tanah yang sedang berkuatkuasa. Ia telah berlaku dulu, kini dan mungkin selama-lamanya selagi masih ada tanah kerajaan yang kosong; kerajaan tidak mengambil tindakan menguatkuasaan terhadap peneroka haram; atau selagi rakyat tidak cuba untuk memahami konsep dan undang-undang tanah negara yang sedang berkuatkuasa.
TANAH OH TANAH…….

1 ulasan:

  1. Kalau tanah tu kasi kat rakyat, kerajaan takde untung..kalau bagi kat syarikat besar2 yg nak usahakan dah tentulah untung..kalau nak usahakan tanah jgn kat bandar2 yg ade potensi kerajaan nak amik blk.

    BalasPadam

Komen la sikit!!