FAM tarik balik hukuman beraksi tanpa penonton ke atas Sarawak
Posted by admin on May 16, 2012 | Leave a Comment
JAWATANKUASA Tatatertib Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) hari ini memutuskan akan menarik balik hukuman bermain di halaman sendiri tanpa kehadiran penyokong selama empat perlawanan, yang dikenakan ke atas Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS).
FAS dikenakan hukuman itu kerana gagal mengawal penyokong sehingga mengabaikan aspek keselamatan.
Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib FAM, Datuk Taufik Abdul Razak berkata, keputusan ini dibuat hasil persetujuan bersama ahli panel itu yang berpuas hati terhadap sikap yang ditunjukkan oleh segelintir penyokong Sarawak.
“Setelah dipantau, pihak kami sangat berpuas hati. Jadi kami memutuskan pada perlawanan Liga Super bulan depan antara Sarawak dengan Selangor, penyokong dibenar untuk membanjiri stadium sebagai sokongan kepada pasukan kegemaran mereka,” kata Taufik.
Taufik bagaimanapun berkata, penarikan balik hukuman tersebut adalah bersyarat dan penyokong harus mematuhi agar kekecohan sebelum ini tidak akan berulang.
“Walaupun penyokong dibenarkan untuk memberi sokongan nanti, pihak kami akan tetap menghantar wakil untuk pemantauan agar insiden keganasan penyokong tidak berlaku lagi,” kata
Taufik sambil menambah, “sekiranya penyokong Sarawak tetap berdegil dan tidak mampu mengawal perasaan sehingga mengabaikan aspek keselamatan, jadi hukuman itu akan terus kekal.”
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Komen la sikit!!