Ketahui Perbezaan Jarak Hentian
Sebagai permulaan, anda pilih laluan rata bertanah merah seperti di kawasan bertanah merah (ladang kelapa sawit) atau berpasir (lombong) berhampiran. Tandakan kawasan di mana anda mahu mula membrek.
- Mulakan kayuhan pada kelajuan sederhana sekitar 10km/j dan ke bawah.
- Pastikan kedudukan anda dan basikal dalam keadaan yang tegak.
- Bila sampai di kawasan membrek, gunakan brek belakang anda untuk memberhentikan basikal tanpa menggelongsor ke kiri atau kekanan.
- Ulangi semula langkah tersebut di atas, kali ini gunakan brek hadapan pula. Pastikan ketika membrek, anda menggunakan tekanan brek yang sama seperti sebelumnya.
- Elakkan dari membrek terlalu kuat sehingga mengunci roda secara terlalu mengejut.
- Bandingkan jarak hentian anda di antara keduanya (brek hadapan dan belakang). Anda akan mendapati bahawa anda akan berhenti dengan lebih awal sekiranya menggunakan brek hadapan.
Penggunaan Brek Hadapan Ketika Menuruni Bukit
Cari kawasan menuruni bukit yang tidak terlalu curam. Anda boleh mencubanya di laluan tar (tarmac) atau offroad tanah merah yang tidak licin. Kunci kepada latihan ini adalah bagi mendapatkan kemahiran menggunakan brek hadapan ketika menuruni bukit. Ini adalah kerana penggunaannya adalah lebih efektif dan memudahkan kawalan kelajuan basikal anda.
- Mulalah menuruni bukit tersebut tanpa menggunakan brek. Kadar kelajuan adalah sekitat 10-20km/j.
- Pastikan anda berdiri ketika menuruni bukit. Ini sebagai latihan agar anda sentiasa bersedia untuk melakukan sesuatu ketika menuruni bukit.
- Mulakan membrek dengan brek hadapan perlahan-lahan.
- Gunakan tekanan brek yang berbeza-beza dan anda akan mendapati kelajuan basikal anda akan berkurangan mengikut tekanan brek yang berbeza-beza.
- Semakin kuat anda membrek, semakin ke belakang anda perlu menolak badan anda. Ini bagi mengimbangi momentum kehadapan dan mengelakkan anda dari tersembam.
- Anda boleh mula bermain-main dengan brek hadapan anda. Cubalah tarik kuat sedikit dan kemudian lepaskan, kemudian tarik semula.
- Ketika melakukannya, pastikan basikal dalam keadaan menegak dan badan anda turut bergerak ke belakang sejauh yang perlu bagi mengimbangi momentum tersebut.
- Dengan melakukannya dengan betul, anda akan mendapati bahawa anda akan lebih mudah mengawal kelajuan ketika menuruni bukit tanpa mengunci roda dan tidak akan terjatuh.
- Bila sudah mahir, anda boleh pula mencuba menggunakan brek hadapan sebelum memasuki selekoh.
- Hanya dengan sentuhan yang lembut dan cukup terkawal perlu dilakukan untuk memperlahankan sedikit basikal sebelum mengambil selekoh.
- Sekiranya selekoh tersebut mempunyai berm, anda tidak perlu terlalu risau bahkan anda boleh melaluinya tanpa membrek pun.
- Imbangan badan perlulah betul di pusat graviti ketika menggunakan brek bagi mengelakkan anda tergelincir.
- Ini adalah untuk mengawal kelajuan. Bila anda mahir menggunakannya, anda akan merasa lebih mudah menuruni bukit yang lurus dan berselekoh mengikut kelajuan yang anda mahu.
Artikel ini dipetik dari BONUS panduan MTB “Trailrider Blueprint” : http://www.rajabukit.com/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Komen la sikit!!